SETIU: Pelancongan berasaskan komuniti perlu diperkasakan bagi mempelbagaikan produk yang mampu menjana pendapatan serta menyemai budaya niaga dalam kalangan penduduk luar bandar.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza, melalui inisiatif berkenaan, aktiviti harian penduduk tempatan terutama adat, budaya, tradisi dan makanan dapat dipromosikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurut Iskandar, experiential tourism ialah konsep pelancongan yang memberikan pengalaman menarik kepada pelancong dan semakin popular di seluruh dunia.

"Ini mengetengahkan community-based tourism (pelancongan berasaskan komuniti).

"Kita dapat lihat bagaimana penglibatan masyarakat setempat kerana ia akan menguntungkan komuniti.

"Masyarakat setempat mengambil peranan dan ini juga mengembalikan nostalgia," kata Iskandar.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata pelancongan berasaskan komuniti membuka lebih banyak peluang pemasaran produk usahawan dalam kalangan penduduk kampung.

Katanya lagi, program Hati Kampung yang diadakan di Kampung Mangkuk, Setiu adalah edisi kedua selepas edisi sulung di Jelebu, Negeri Sembilan.